Bismillah.
Kejayaan bagi ikan-ikan di lautan adalah dengan berada di dalam lautan/air. Kejayaan cacing-cacing dan hidupan di dalam tanah adalah dengan kekal berada di dalam tanah. Andai mereka keluar daripada tempat-tempat ini, maka mereka akan gagal, dan akan mati. Begitulah manusia. Tempatnya adalah dalam agama. Andai mereka keluar daripada agama maka mereka akan sesat, dan kejayaan hakiki di akhirat akan menjadi semakin jauh malah jadi angan-angan hatta kekayaan dunia berada dalam genggaman tangannya sekali pun.
Noktah.
Alhamdulillah. Dalam tempoh masa 2 minggu sahaja lagi (tolak minggu ini) maka akan berakhirlah tempoh latihan industri saya di Johor ini. Saya bakal menapak kembali ke bumi Tronoh, menyambung bahagian pengajian sebagai bakal graduan Kejuruteraan Kimia yang masih berbaki 8 bulan lamanya. Moga tiada halangan hendaknya. InsyaAllah.
Alhamdulillah. Ada lagi kesempatan untuk menyambung 'marathon' entri berkenaan Cinta Berperaturan untuk siri kedua. Buat pembaca, tiap bait perkataan yang tertulis di dalam post ini hanya pendapat kendiri saya yang serba lemah ini, dan mohon andai kalian mahu mencari hukum bolehlah terus ditanyakan kepada yang lebih ahli.
Catatan ini lebih kepada perkongsian, daripada pemerhatian, dan pengalaman sendiri sepanjang saya meminjam jasad dan nyawa ini daripada Allah SWT.
Bagaikan sudah sebati dalam kelompok masyarakat kita bahawa tiap perhubungan pasti ada pergolakannya. Dalam isu percintaan begitu juga. Pasang surutnya tetap ada. Tetapi saya bukanlah mahu menjadi pakar pengubat hati dalam entri ini pula. Bukan bidang saya.
Persoalan cinta yang sering menjadi mainan perasaan remaja masa kini, (bahkan pada zaman remaja saya) dan mungkin juga akan kekal berlarutan sehingga ke generasi akan datang sekiranya tiada pemahaman yang baik dari sudut agama, sering dilengkapi dengan unsur patah hati.
Ketika patah hati, segalanya bagaikan menjadi suram. Makan tidak kenyang, tidur tidak lena, mandi kurang basah. Aduhai, dek hati yang retak dari sebuah hubungan percintaan, hidup menjadi tidak produktif, sayu tidak bersemangat ke sana sini. Bahkan ada yang lebih dahsyat, sehingga membunuh diri.
Namun mengikut trend masa kini, bunuh diri bukan lagi suatu pilihan 'popular'. Melihat saja dada-dada akhbar, saya menjadi ketakutan sendiri melihat masa hadapan dunia ini. Kekasih dibakar, kemaluan dipotong, ditolak kekasih dari tingkat tinggi dan sebagainya, menjadikan cinta itu ditoreh kesuciannya.
Dalam soal "sandaran cinta" seperti yang tertulis pada entri sebelumnya, hal inilah yang sedikit sebanyak menyumbang kepada perlakuan yang tidak bermoral yang saya sebutkan tadi. Dek kerana cinta, hati menjadi buta!
Kebutaan hati ini menyebabkan rasa rasional hilang, timbang tara rasa sudah tiada, bahkan meranapkan iman sama sekali. Atas sebab itulah, Allah menurunkan anugerah Cinta ini dengan peraturannya.
Pergaulan bebas, berdua-duaan, berkasih-kasihan tanpa hubungan yang sah antara lelaki dan perempuan, jelas diperkatakan dan dinyatakan hukumnya bahawa HARAM di sisi agama dan berdosa jika melakukannya.
Konsep cinta berperaturan itu amatlah mudah, apa-apa perkara yang membawa kepada kemurkaan Allah SWT akan membawa kepada kehancuran diri, bahkan akan menggagalkan apa2 jua perkara yang kita lakukan pada ketika itu.
Lucu rasanya, saat menjenguk-jenguk laman sesawang yang majoriti daripada penggunanya adalah golongan remaja. Pada minggu ini mungkin saja sedang hangat bercinta, status-status dan 'tweet' updates yang ditaipnya penuh rasa romantis yang mahu dikongsikan dengan satu dunia.
Tetapi kemudiannya, belum sampai sebulan dia muncul lagi, tetapi penuh dengan kepatahan hati. Memaki hamun bekas kekasihnya semahu-mahunya. Hairan, saya kira mereka sedang bahagia melayar bahtera cinta?
Cinta Sebelah Tangan.
Patah hati adalah antara kemudaratan hati yang sukar dicari penawarnya. Apatah lagi kalau penangannya cinta, aduh......air mata tidak tertahan. Si jejaka yang penuh dengan kesasaan juga boleh tersungkur dek perasaan.
Oh alangkah rugi air mata yang digugurkan itu. Ada kalanya sehingga mencecah ke semalaman. Ada yang tidak tidur, hingga pada waktu pagi matanya bengkak malah ada yang meracau tidak keruan. Sedangkan air mata dan waktu yang dibuang itu boleh dimanfaatkan untuk berdoa dan meminta ampun kepada Allah SWT.
Pepatah melayu sendiri sudah mengingatkan. Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Patah hati dalam percintaan selalu berpunca dari sini. Sebab itulah, kita diingatkan untuk selalu mencinta org yang mencintai kita.
Apalah kiranya yang mampu diharapkan daripada manusia yang mampu berubah hatinya? Nanti kita juga yang bertepuk sebelah tangan!
Atas sebab itu, sandaran dan pusat cinta kita haruslah diikat kepada Allah SWT. Cinta kita harus bersyarat untuk semakin dekat kepada Allah SWT. Itulah ubat hati yang paling mujarab dan pengikat hati yang paling kuat.
Cinta yang bersandar kepada Allah, Dzat yang Maha Sempurna dan Kekal, yang tidak akan mati selamanya. Hubungan cinta diwarnai dengan usaha membaiki diri untuk semakin baik dan disayangi Allah SWT.
Natijahnya, Allah SWT akan menjaga hubungan itu untuk disatukan dengan cara yang sebaiknya. Ditemukan dengan cara yang paling afdhal. Lalu disempurnakan dengan pemuliharaan agama di antara keduanya.
Kepatahan hati seringkali berpunca daripada rasa hancur kerana cinta sudah tidak lagi wujud, sayang sudah lagi tiada, kepercayaan yang sudah hilang dan perhatian yang sudah dipindahkan. Tetapi dengan menyandarkan cinta kepada Allah, semua itu tiada!
Cintailah Allah, insyaAllah tangan tidak akan bertepuk sebelah.
Jodoh pula bagaimana?
.....bersambung....
Taufik
9.59
29/3/13
Subscribe to:
Post Comments (Atom)




0 comments:
Post a Comment