JOHOR: Di Sini Hatiku Singgah

on Sunday 31 March 2013
Waktu malam menginjak lewat
tirai dinihari mulai terbuka luas
di sini aku
di hadapan kekunci berlukis perkataan
meluah rasa
menghurai gundah...

Di sini hatiku singgah
kala awalnya kufikir tiada yang indah di tanah ini
ku kira bumi Johor ini tiada yang istimewa untukku jelajah
kiranya.. 
di sini
ada cebisan hatiku singgah

Bertemu wajah-wajah polos mereka
berkenalan sekali cuma
hati bertaut saat berpisah
kala ini..
aku harus menerima pasrah
menyusun cebisan hati untuk redha
tanah ini
tempat hatiku singgah
akan kutinggalkan kelak
menyambung jelajah ilmu di bumi Allah

Di sini hatiku singgah
disambut mesra wajah-wajah ramah
diterima umpama keluarga
di sini aku tersentuh
rupanya masih ada cebisan kasih
yang harus kusimpan di sini
yang nanti akan kurindui
yang pasti aku kucari-cari nanti...

Di bumi Bugis ini, 
di tanah selatan ini hatiku singgah
di sini cebisannya ku tinggalkan nanti
dibawa pergi oleh wajah polos 
yang mengambil tempat di hati
uhibbu kafillah hatanya, 
kusayangimu jua kerana Allah, 
kerana Dia pertemukan kita.......

Di tanah ini, 
Di JOHOR bumi bertuah ini..
hatiku yang kukira sudah habis cebisannya, 
singgah... lalu diterima oleh hati yang bernama 'dia'..

Moga ada lagi pertemuan untuk kita, 
di sini, hatiku singgah~~

Taufik
12.59AM
31/3/13

Ya Allah Aku Jatuh Cinta! #Siri 2: Patah Hati

on Friday 29 March 2013
Bismillah.

Kejayaan bagi ikan-ikan di lautan adalah dengan berada di dalam lautan/air. Kejayaan cacing-cacing dan hidupan di dalam tanah adalah dengan kekal berada di dalam tanah. Andai mereka keluar daripada tempat-tempat ini, maka mereka akan gagal, dan akan mati. Begitulah manusia. Tempatnya adalah dalam agama. Andai mereka keluar daripada agama maka mereka akan sesat, dan kejayaan hakiki di akhirat akan menjadi semakin jauh malah jadi angan-angan hatta kekayaan dunia berada dalam genggaman tangannya sekali pun.

Noktah.

Alhamdulillah. Dalam tempoh masa 2 minggu sahaja lagi (tolak minggu ini) maka akan berakhirlah tempoh latihan industri saya di Johor ini. Saya bakal menapak kembali ke bumi Tronoh, menyambung bahagian pengajian sebagai bakal graduan Kejuruteraan Kimia yang masih berbaki 8 bulan lamanya. Moga tiada halangan hendaknya. InsyaAllah.

Alhamdulillah. Ada lagi kesempatan untuk menyambung 'marathon' entri berkenaan Cinta Berperaturan untuk siri kedua. Buat pembaca, tiap bait perkataan yang tertulis di dalam post ini hanya pendapat kendiri saya yang serba lemah ini, dan mohon andai kalian mahu mencari hukum bolehlah terus ditanyakan kepada yang lebih ahli.

Catatan ini lebih kepada perkongsian, daripada pemerhatian, dan pengalaman sendiri sepanjang saya meminjam jasad dan nyawa ini daripada Allah SWT.

Bagaikan sudah sebati dalam kelompok masyarakat kita bahawa tiap perhubungan pasti ada pergolakannya. Dalam isu percintaan begitu juga. Pasang surutnya tetap ada. Tetapi saya bukanlah mahu menjadi pakar pengubat hati dalam entri ini pula. Bukan bidang saya.

Persoalan cinta yang sering menjadi mainan perasaan remaja masa kini, (bahkan pada zaman remaja saya) dan mungkin juga akan kekal berlarutan sehingga ke generasi akan datang sekiranya tiada pemahaman yang baik dari sudut agama, sering dilengkapi dengan unsur patah hati.

Ketika patah hati, segalanya bagaikan menjadi suram. Makan tidak kenyang, tidur tidak lena, mandi kurang basah. Aduhai, dek hati yang retak dari sebuah hubungan percintaan, hidup menjadi tidak produktif, sayu tidak bersemangat ke sana sini. Bahkan ada yang lebih dahsyat, sehingga membunuh diri.

Namun mengikut trend masa kini, bunuh diri bukan lagi suatu pilihan 'popular'. Melihat saja dada-dada akhbar, saya menjadi ketakutan sendiri melihat masa hadapan dunia ini. Kekasih dibakar, kemaluan dipotong, ditolak kekasih dari tingkat tinggi dan sebagainya, menjadikan cinta itu ditoreh kesuciannya.

Dalam soal "sandaran cinta" seperti yang tertulis pada entri sebelumnya, hal inilah yang sedikit sebanyak menyumbang kepada perlakuan yang tidak bermoral yang saya sebutkan tadi. Dek kerana cinta, hati menjadi buta! 


Kebutaan hati ini menyebabkan rasa rasional hilang, timbang tara rasa sudah tiada, bahkan meranapkan iman sama sekali. Atas sebab itulah, Allah menurunkan anugerah Cinta ini dengan peraturannya.

Pergaulan bebas, berdua-duaan, berkasih-kasihan tanpa hubungan yang sah antara lelaki dan perempuan, jelas diperkatakan dan dinyatakan hukumnya bahawa HARAM di sisi agama dan berdosa jika melakukannya.

Konsep cinta berperaturan itu amatlah mudah, apa-apa perkara yang membawa kepada kemurkaan Allah SWT akan membawa kepada kehancuran diri, bahkan akan menggagalkan apa2 jua perkara yang kita lakukan pada ketika itu.

Lucu rasanya, saat menjenguk-jenguk laman sesawang yang majoriti daripada penggunanya adalah golongan remaja. Pada minggu ini mungkin saja sedang hangat bercinta, status-status dan 'tweet' updates yang ditaipnya penuh rasa romantis yang mahu dikongsikan dengan satu dunia.

Tetapi kemudiannya, belum sampai sebulan dia muncul lagi, tetapi penuh dengan kepatahan hati. Memaki hamun bekas kekasihnya semahu-mahunya. Hairan, saya kira mereka sedang bahagia melayar bahtera cinta?

Cinta Sebelah Tangan.

Patah hati adalah antara kemudaratan hati yang sukar dicari penawarnya. Apatah lagi kalau penangannya cinta, aduh......air mata tidak tertahan. Si jejaka yang penuh dengan kesasaan juga boleh tersungkur dek perasaan.
Oh alangkah rugi air mata yang digugurkan itu. Ada kalanya sehingga mencecah ke semalaman. Ada yang tidak tidur, hingga pada waktu pagi matanya bengkak malah ada yang meracau tidak keruan. Sedangkan air mata dan waktu yang dibuang itu boleh dimanfaatkan untuk berdoa dan meminta ampun kepada Allah SWT.

Pepatah melayu sendiri sudah mengingatkan. Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Patah hati dalam percintaan selalu berpunca dari sini. Sebab itulah, kita diingatkan untuk selalu mencinta org yang mencintai kita.

Apalah kiranya yang mampu diharapkan daripada manusia yang mampu berubah hatinya? Nanti kita juga yang bertepuk sebelah tangan!

Atas sebab itu, sandaran dan pusat cinta kita haruslah diikat kepada Allah SWT. Cinta kita harus bersyarat untuk semakin dekat kepada Allah SWT. Itulah ubat hati yang paling mujarab dan pengikat hati yang paling kuat.

Cinta yang bersandar kepada Allah, Dzat yang Maha Sempurna dan Kekal, yang tidak akan mati selamanya. Hubungan cinta diwarnai dengan usaha membaiki diri untuk semakin baik dan disayangi Allah SWT.

Natijahnya, Allah SWT akan menjaga hubungan itu untuk disatukan dengan cara yang sebaiknya. Ditemukan dengan cara yang paling afdhal. Lalu disempurnakan dengan pemuliharaan agama di antara keduanya.

Kepatahan hati seringkali berpunca daripada rasa hancur kerana cinta sudah tidak lagi wujud, sayang sudah lagi tiada, kepercayaan yang sudah hilang dan perhatian yang sudah dipindahkan. Tetapi dengan menyandarkan cinta kepada Allah, semua itu tiada!

Cintailah Allah, insyaAllah tangan tidak akan bertepuk sebelah. 

Jodoh pula bagaimana?

.....bersambung....

Taufik
9.59
29/3/13 


Ya Allah! Aku Jatuh Cinta! - Siri 1

on Wednesday 27 March 2013
Bismillah.

Tiadalah tatacara kehidupan yang akan membawa kepada kejayaan melainkan dengan mengikut jejak para syuhada yang telah berjaya di dunia bahkan gemilang akhiratnya. Tiadalah kejayaan melainkan dengan mengikuti perintah Allah dan taat kepada Sunnah Rasulullah SAW.

Begitu mukaddimah, seperti selalunya. Moga saja mampu merawat pencarian jalan juang yang seringkali kita tercari-cari akan kehadirannya sedangkan selama ini sudah ada di hadapan mata.

Noktah.

Alhamdulillah. Dalam dua minggu sahaja lagi, lebih tepat lagi lebih kurang 16 hari daripada hari ini, saya akan meninggalkan syarikat AMR ENVIRONMENTAL SDN BHD dan menyambung kembali kehidupan sebagai seorang mahasiswa untuk tempoh lebih kurang 8 bulan lamanya. Tetapi insyaAllah, rintangan tahun akhir kali ini, saya akan hadapi 'berdua'. ^^.

Perbualan yang sedikit meleret semalam dengan seorang sahabat lama saya, berkenaan "Cinta Berperaturan" membuatkan saya rasa terpanggil untuk menulis di atas hamparan maya ini. Namun disebabkan kesihatan yang tidak mengizinkan semalam, maka niat itu tertunda ke hari ini pula.

 Melihat-lihat status yang berjela di atas hamparan news feed facebook kadangkala membuatkan saya tergelak kecil sendiri. Lucu, rimas, dan kadangkala meluat juga ada hadir dalam perasaan ketika membaca status-status updates daripada adik2 yang baru menginjak usia remaja.

"Duhai Adam, aku Hawa perlu pada perhatianmu,"
"Wanita diciptakan daripada tulang rusukmu..."
"Ya Allah, peliharalah jodohku di sana.."

dan banyak lagi status lainnya yang menggelikan hati setiap kali membacanya. Belum lagi yang sibuk share gambar pelamin, gambar cinta Islamik dan sebagainya. 

Apabila melihat trendnya, kebanyakan remaja kini banyak menggunakan alasan "cinta kerana Allah" dan "cinta itu anugerah Allah" sebagai tempelan di hujung ayat sebagai hujah untuk mereka bercinta. Tetapi persoalannya, apabila anugerah dihargai melampaui yang memberikan anugerah, tidakkah anugerah itu akan menjadi obsesi yang melampau, lalu gagal menghargai nilai sebuah anugerah itu sendiri? 

Saya berikan analogi mudah, apabila anda menerima hdiah daripada ibu anda, yang mana satukah anda akan lebih hargai? 

Ibu yang memberikan hadiah itu melalui kasih sayangnya, atau hadiah yang anda terima?

Sudah tidak selayaknya anda melebihkan hadiah itu berbanding ibu anda bukan? 

Persoalan pokok pada isu 'anugerah' ini adalah, setiap perkara yang diberikan atau dianugerahkan kepada kita datang dengan cara dan peraturannya. 

Saya sama sekali tidak menolak Cinta. Cinta itu sebati dengan jiwa manusia. Ia hadir bersama dan tidak boleh terpisah. Ia diciptakan bersama jiwa manusia yang sememangnya dahaga pada cinta dan perhatian, rasa prihatin dan kasih sayang. Ia wujud bagaikan langit dan bumi, siang dan malam, matahari dan bulan.. kalau terpisah, ADUH! Merana satu badan. 

Soalnya, peraturan dan cara dalam mengenalpasti cinta dan menjalani percintaan itu sendiri, adalah pokok utama yang harus difikir dan difahami sebelum masuk ke "Taman-taman Cinta" ini. 

Apabila Fitrah Menjadi Fitnah.

 
 Acapkali juga kedengaran hamparan kata dan hujah yang menyatakan bahawa cinta itu adalah fitrah bagi manusia. Jadi kenapa harus dikekang dan dihalang? Bagi saya, jawapan untuk persoalan itu mudah. 

Ada kalanya, yang fitrah akan menjadi fitnah. Begitu juga keadaannya seperti dosa-dosa kecil, kalau dilakukan terlalu kerap boleh jadi dosa besar. Hal yang halal boleh jadi haram kalau diperlakukan dengan zalim, iaitu tidak diperlakukan dengan selayaknya atau dengan kata lain, tidak mengikut peraturannya. 

Siapalah yang dapat menafikan keperluan Cinta dalam hidup kita? Andai ia tidak ada, saya pasti dunia ini boleh jadi huru hara. 

Namun, dek kerana kita ini manusia yang Allah berikan akal dan diangkat sebagai makhluk paling sempurna antara semua ciptaanNya, Allah berikan kita manual dalam mengawal dan memperlakukan cinta dengan selayaknya. 

Cinta itu suci dan sepatutnya tiada sandaran kepada apa-apapun untuk membuktikan kesuciannya. Kalau sekiranya kita mendefinisi cinta itu dengan cumbu-cumbuan, berjumpa dan berpegangan tangan, berkasih-kasihan tanpa ikatan sah di sisi Islam, bagi saya itu bukan cinta, tetapi "ilham perhubungan" yang Allah SWT ilhamkan kepada makhluk yang bernama binantang. 

Jadi janganlah kita turunkan martabat cinta itu dengan membaurkannya dengan nafsu. Manusia (kita) diberi akal untuk membezakan mana-mana yang baik dan mana-mana yang buruk di sisi agama, jadi mengapa sengaja menjadi 'binatang'? 

Binatang hanya perlu mencari pasangannya, menggodanya, lalu mengawan ketika musimnya. Tidak perlu berkahwin, tidak perlu menjaga hubungan dan batas antara mereka dengan sewajarnya. 

Kalau ini definisi cinta anda, itulah ketikanya fitrah yang Allah beri kepada anda, menjadi FITNAH secara automatiknya. 

untuk entri kali ini, saya berhentikan di sini sahaja insyaAllah. Saya akan kupas lebih dalam isu "Cinta Berperaturan" ini dengan lebih dalam pada masa akan datang. InsyaAllah.

Moga ada hikmah yang dapat ditelusur daripada isi minda saya yang tidak seberapa ini.

Taufik
17:39
27/3/13





Yang Majoritinya Sesat, Yang Minoritinya Dagang.

on Sunday 24 March 2013
Bismillah.

Tiada kejayaan dalam dunia ini yang hakiki melainkan dengan menuruti cara yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, yang telah diikut rapat oleh para sahabar r.a dan sahabiah r.anhuma.

Sangat pelik melihat masyarakat yang masih sibuk mencari alternatif dalam penyampaian dakwah Islamiah yang sentiasa bertemu dengan kegagalan kalau tidak sekurang-kurangnya menimbulkan kedangkalan dan fitnah, sedangkan cara yang sudah jelas memberi kejayaan sudah ditunjukkan oleh Rasulullah semenjak 1400 tahun hijrah dahulu.

Alhamdulillah. Semenjak Sabtu lagi tubuh terasa sedikit lemah. Hidung tersumbat dan tidak henti-henti batuk. Terasa kerdilnya diri menghadapi dugaan kifarah ini.

Semalam baru sahaja habis berprogram dengan Saudara Amin Idris, salah seorang selebriti TV Al-Hijrah. Aduh, melihatnya saja membuat saya rasa terkesima. Bidang yang diceburinya sama seperti yang saya idamkan semenjak dahulu lagi. Saya rasakan bagai mustahil untuk dicapai, tetapi daripada intipati perkongsiannya semalam saya mendapat motivasi baharu.

ok.. saya sangat 'redup'.. 

 insyaAllah untuk post yang akan datang saya akan kongsikan intipati ceramah "Dare To Dream" daripada beliau.. ^^.

"Yang majoriti sesat, yang minoriti dagang". Mengambil masa juga bagi saya untuk come out dengan tajuk post yang begini. Terasa sukar juga memandangkan sudah agak lama tidak mengemaskinikan tatabahasa dan kosa kata saya. Zaman gemilang saya sebagai "Pencinta Bahasa" saya kira sudah tiba pada penghujung waktunya. 

Firman Allah SWT dalam Surah Al-An'am ayat 116 yang bermaksud: 

"Dan jika engkau menurut kebanyakan orang di muka bumi nescaya mereka akan menyesatkanmu daripada jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaat semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta"

Hal ini benar jika dilihat dan dinilai daripada konteks masyarakat kini. Arus pembangunan sahsiah masyarakat sudah jauh menyimpang daripada yang sewajarnya. Majoriti msyarakat sudah tersilap faham akan definisi sebenar arus pembangunan dan kemajuan. Masing-masing tidak mahu kelihatan kolot dan ketinggalan zaman, tetapi tidak sedar tuntutan dan kehendak agama sudah digadaikan. 

1. Aurat. 
Saya hairan, kaku, dan terkesima melihat perkembagan fesyen muslimah zaman kini. Di kaca tv ada dokumentari atau rancangan khas yang berbicara tentang fesyen muslimah moden. Mendengarnya kali pertama saya berasa gembira, kerana fesyen menutup aurat diketengahkan secara komersil. TETAPI amat menyedihkan ketika saya melihat fesyen-fesyen yang diketengahkn. Tudung tidak mengikut syariat malah jarang dan jelas menampakkan potongan badan. Itu melalui kaca tv, belum lagi lihat secara live.
Hakikatnya, penerimaan fesyen begini begitu meluas. Atas dasar tidak mahu ketinggalan dalam arus fesyen masa kini, yang dahulu suka berbaju kurung kini tidak segan berpakaian ketat. Dahulu manis bertudung bawal kini 'pelik' memakai tudung. Bagaikan memakai tudung dalam sahaja ke mana-mana dengan keadaan leher dan kuping telinga tertonjol keluar. Di manakah unsur SYARIAT di situ? Tidak ada..! Ketika inilah yang majoriti itu menjadi sesat.

2. Couple. 
"Kami bercinta kerana Allah" atau "Aku mencintaimu kerana Allah" sudah menjadi umpama tempelan di hujung kata. Apatah lagi dalam keadaan nasyid kontemporari yang bait-bait liriknya sudah tidak kedengaran jelas unsur dakwahnya. Saya lebih suka mendengar lagu Raihan berbanding lagu nasyid masa kini yang banyak membuaikan nama cinta dalam lirik lagunya. Melalui hal sebeginilah yang mulanya fitrah menjadi fitnah. Bagaimana mungkin kita mengharapkan pendengar untuk menghadam dengan bijak lirik lagu yang penuh dengan percintaan andai "Allah" hanya menjadi tempelan di hujung lagu? 
Belum lagi melihat keadaan masyarakat yang seumpama melihat CINTA TERLARANG seumpama sesuatu yang sudah sebati dan harus diterima dalam hidup. Mereka mengaku cinta itu anugerah Allah tetapi menolak peraturan yang Allah beri bersama anugerah itu. Ironi bukan? 
Maka lahirlah masyarakat yang sudah hilang rasa malunya pada dosa. Apabila ada sesiapa yang cuba mencegah atau menghalang dirinya daripada bercinta secara terlarang, mereka dianggap kolot dan ketinggalan zaman. Atau sekurang-kurangnya tidak laku atau tidak pandai menikmati kehidupan. Cinta itu pada hakikatnya tidak salah, cuma terlalu ramai yang mengamalkannya dengan cara yang SALAH! Maka ketika inilah, yang majoriti itu menjadi sesat. 

Kalau hendak diikutkan, ada banyak perkara yang kita sekarang melihatnya sebagai perkara biasa tetapi sebenarnya sangat luar biasa impaknya pada kehidupan. Ikutkan hati, hendak saja saya senaraikan satu persatu bagaimana yang diamal secara majoriti di zaman ini sudah banyak yang jauh terpesong daripada kehendak agama yang sememangnya memberikan garis pandu untuk memudahkan kehidupan. 

Namun, atas keterbatasan masa dan juga kesihatan yang tidak berapa molek, saya berhenti di sini sahaja. InsyaAllah ada kelapangan waktu lagi saya akan membebel lagi di sini.

Wallahualam. 

Taufik
16.02
24/2/13



Menuju Hidup Berdua.

on Wednesday 6 March 2013
Bismillah. 

Dari tiap hembusan nafas ini, haruslah sentiasa beringat, bahawa dalam dunia ini tiada kejayaan yang sungguh benar dan nyata melainkan dengan mengikut garis pandu kehidupan yang telah Nabi Muhammad S.A.W tunjukkan. Baik dari sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada sebesar-besar perkara. Dari masuk ke dapur hingga keluar ke medan peperangan. 

Begitu mukaddimah. Sekian lama tidak berbicara sebegitu. Mungkin terlupa gamaknya. 

Noktah. 

Kalau dihitung, dalam tempoh 2 bulan lagi, insyaAllah zaman bujang selama lebih kurang 22 tahun akan ditamatkan. Di mana? Di sana.. tanah Gombak milik Allah. 

Terus terang, pada waktu hendak menekan butang "send" untuk menyampaikan berita kepada rakan-rakan sekelas, hati berdebar.. malah tangan terketar-tekar. Mana tidaknya? Antara saya dan dia, bukan semua org mampu menjangka bahawa kami selama ini berbicara tentang diri masing-masing apabila ditanya soalan bonus "siapa calon suami/isteri anda?"

Jemputannya begini: 

ini versi Bahasa Melayu

Kalau ikutkan mahu saja saya gunakan teknik edit gambar menggunakan aplikasi yang lebih maju dan moden. Tetapi bagi saya, semakin ringkas semakin baik. Tidak banyak yang perlu dihadam dan dikagumi. Ckup sekadar mesej itu sampai dan mudah untuk difahami. Akhirnya, Microsoft Powerpoint jadi pilihan. 

Alhamdulillah. Respon yang diterima cukup baik. Dari ucap tahniah kepada soalan; "Sejak bila mula SUKA?" kepada permintaan tips untuk berkahwin awal, tersenyum simpul saya membacanya. 

Maka saya jawabkan di sini: 

1. Sejak bila mula suka? 
Allah SWT yang memegang hati manusia. Dialah yang berkuasa untuk membolak-balikkan hati kita. Dia memberi dan Dia pula yang mampu menarik semula pemberianNya. Menjadi wajib kita meyakini bahawa Allah berkuasa atas segalanya. Detik rasa di hati saya untuk berhasrat menikahinya, adalah kuasa Allah. Sekadar satu panggilan telefon, lalu semuanya Allah mudahkan. Saya mengambil hikmah pada kekuasaan Allah. Saya suka dengan orang lain, bertunang dengan orang lain, tetapi akhirnya bakal bernikah dengan orang lain. Maha Suci Allah yang mengaturkan segalanya. 

2. Cukupkah tempoh berkenalan yang begitu singkat?
Saya tidak rasa 8 bulan itu cukup singkat. Malah 8 bulan itu kami mengenal hati budi masing-masing. Tiada rasa pura-pura, malah sentiasa menjadi diri sendiri. Mengapa? Kerana mindset kami telah sama; ini bakal teman hidupku. Tidak perlu ada rasa kepura-puraan. Kami akan menelusuri hidup nanti berdua. Maka haruslah untuk kami sama-sama menjaga. Saya tidak rasa tempoh berkenalan lebih dalam itu singkat. Malah ditengahkan oleh org yang cukup terpercaya, dan mendapat pemerhatian daripada ibu bapa masing-masing. Dia selalu menghubungi ibu saya dan begitu pula saya. Sebolehnya kami tidak mahu menjadi spesis stereotaip org sekarang. Bercinta lama tetapi tiada hujung sudah. 

3. Tips kawin awal.
Ehem. Memang saya tiada jawapan untuk ini. Semuanya Allah yang mudahkan urusan kami. Sesaat dia memperkenalkan saya kepada ibu bapanya, bakal ayah mertua saya tanpa keberatan membuka jalan untuk kami bernikah. Respon ibu saya? Alhamdulillah. Saya menganggarkan bahawa keluarga saya akan menolak. Bayangkan saja, ada 2 orang abang yang saya langkau. Tambah lagi saya tidak pernah bercerita tentang gadis pilihan hati sebelum ini. Siapa tidak terkejut? Tetapi saya bersyukur. Tiada kelebihan dia yang saya ceritakan pada ibu saya. Ingin melihat bagaimana penerimaannya pada bakal menantunya. Satu kelemahannya saya cerita, 10 pilihan ibu saya beri untuk membaikinya. Ibu tidak menolak, malah restunya mengiringi kami. Impaknya pada abang-abang saya pula, alhamdulillah, mereka mula mengambil serius hubungan dengan plihan hati mereka. Kini mula merancang untuk mempercepat pernikahan. Amin ya Allah!

Siapa sangka? Dalam diam, ramai juga rakan2 saya yang mempunyai hasrat yang sama. Moga memberi inspirasi! Saya hanya mampu berdoa, moga Allah memudahkan urusan kalian.

Apa2 yang mampu saya katakan, ketahuilah bahawa hasrat yang baik itu Allah akan mudahkan. Semampunya saya hanya mampu kirimkan doa dan harapan moga Allah mudahkan keinginan kalian dan melembutkan hati ibu bapa kalian. Amin ya Allah. 

Hasrat jalan bernikah ini bukanlah mudah untuk dibulatkan. Mengambil masa juga. Tapi, kerana jalan sudah dibuka oleh keluarga, maka kami ikuti arusnya. Berkali-kali diberi semangat dan motivasi oleh bakal ayah mertua. Setiap kali datang bertandang setiap kali itu juga bakal ayah mertua akan memberi pesan dan nasihat berbaur keagamaan. Bahawa Allah akan mudahkan segalanya untuk mereka yang memudahkan perkara yang selalu orang lain payahkan. =)

Pesan untuk diriku, 
Nanti akan ada bahtera yang perlu saya kemudikan perjalanannya. Ada satu lagi jasad dan hati yang perlu saya jaga dan pelihara. Tanggungjawab akan semakin berkembang dan bertambah. Semampunya, hanya mampu berharap Allah mudahkan segalanya. 

Kemanisan awal pernikahan itu akan semakin hilang, semampunya saya akan cuba kekalkan. Bulan madu akan berpindah kepada orang lain pula nti, semampunya saya akan cuba pertahankan. 

Moga bahtera berdua ini mampu dihadapi sebaiknya, dan menjadi satu inspirasi kepada rakan dan generasi muda lainnya, bahawa Cinta itu suci, jgan dirosakkan dengan maksiat. 

Wallahualam. 

Taufik
0718

Tips Pertemuan Kali Pertama Dengan Bakal Mertua

on Tuesday 5 March 2013
Bismillahirahmanirrahim..Sudah hampir 2 bulan saya x menulis apa2 di blog ini (saya dah ketinggalan 2 post dari penulis pertama),inshaallah saya cuba untuk mencuri sedikit masa dan kekuatan untuk menulis sesuatu untuk sahabat pembaca semua. Moga Allah meluruskan hati saya dan kita, kerana seperti yang kita semua ketahui,beradanya kita didunia yang fana ini adalah untuk saling berpesan-pesan dengan kesabaran dan berpesan-pesan kearah kebenaran (103:3). Menulis dengan bertemankan lagu-lagu dan celoteh DJ di Ikim.fm memberi sedikit mood berada depan laptop.

Hidup kita sentiasa akan melalui fasa yang berubah-ubah dan setiap fasa itu perlu adjustment. Adjust diri dan perasaan kita sehingga kita tetap mampu berusaha dan menjadi yang terbaik sebagai hamba dan khalifah Allah di segenap laluan kehidupan. Fasa belajar,fasa habis belajar,fasa bekerja,fasa kahwin,fasa dapat anak dan seterusnya..



Sejak saya menulis artikel ""Saya" Yang Mahu Kahwin ,ramai yang bertanya saya tentang fasa kahwin dan BM (baitul muslim) walaupun saya sendiri xpernah alami lagi fasa ini (mungkin lambat lagi untuk mengalaminya). Hal ini mendorong saya untuk menulis sesuatu dalam blog ini untuk berkongsi pengalaman (act TEORI) yang saya dapat dari senior-senior yang dah mendirikan rumahtangga berkaitan “Tips Pertama Kali Bertemu BAKAL Mertua buat Lelaki”.

Tidak dapat dinafikan lagi,pertemuan kali pertama dengan bakal mertua adalah antara detik yang mendebarkan buat mana-mana lelaki. Maklumlah, secara tidak langsung anda akan memberitahu lelaki/perempuan tersebut,

“Pakcik (Makcik), saya mahu mengambil alih tanggungjawab/amanah menjaga anak kesayangan pakcik ni dari pakcik”.

Lebih-lebih lagi jika anda tidak tahu apa yang perlu diexpect.

First impression count. Seboleh-bolehnya anda tentulah tidak mahu berpura-pura dan mahu menjadi diri sendiri. Tetapi anda perlu tahu yang anda perlu menjadi versi terbaik diri anda sendiri. Be your best self.

Ground rule, this is not the time to act cool. Anda bukan hendak berjumpa dengan rakan anda. Anda akan berjumpa dengan lelaki dewasa yang sekurang-kurangnya 20 tahun lebih tua dari anda. Generation gap itu wujud.

Let me share some best practices (theories) and tips tips from my senior.
Ingin saya ingatkan, mungkin pengalaman anda sedikit berbeza, itu tidak mengapa. Best practices yang saya kongsikan di sini, boleh dijadikan panduan untuk memudahkan dengan signifikan tugas anda mengambil hati bakal mertua.

Pertama anda perlu datang seorang (jika anda kenal secara direct dengan pasangan anda) atau datang dengan orang tengah (jika anda kenal dengan pasangan anda melalui orang tengah yang anda yakini dan percayai dengannya). Saya tahu, setiap lelaki mesti akan rasa nervous untuk bertemu dengan bakal mertua seorang diri tetapi itu lebih baik buat anda n anda perlu lebih berani time ni.  Gentleman datang seorang. Banyak risiko datang beramai-ramai.

Jika anda datang dengan orang tengah,ini merupakan kelebihan buat anda kerana mungkin bakal mertua anda lebih yakin dengan anda jika dia kenal dengan siapa anda kenal dengan anaknya dan hal ini menunjukkan anda benar-benar n bersungguh-sungguh untuk mengambil anaknya sebagai isteri.

Kedua,datang apabila anda sudah yakin pasangan anda itulah orangnya yang anda mahu kahwini. Jangan datang semata-mata kerana pasangan anda paksa. Jangan datang jika anda masih meragui bahawa pasangan anda itu adalah perempuan yang selayaknya yang anda ingin kahwini. Kalau x nanti anda akan tergagap-gagap untuk menjawab setiap pertanyaan yang diajukan oleh bakal mertua anda. Jika hal ini berlaku,bakal mertua anda masih kurang yakin dengan anda untuk menjaga anak kesayangan mereka. Kalau boleh bincang dulu dengan pasangan anda,apakah topic yang sesuai untuk dibincangkan dengan bakal mertua anda. Kalau boleh study sket topik2 ini supaya mana anda tidak hilang idea untuk berbincang. Jika anda dapat lakukan dengan baik menunjukkan anda telah Berjaya menarik hati bakal mertua anda buat kali pertamanya. Ini akan memberi kredit yang lebih buat anda.

Ketiga, anda perlu datang secara rasmi,jadi HERO, jangan jadi Pelakon Tambahan. Beritahulah pasangan anda, anda akan datang. Minta pendapatnya mengenai tarikh terbaik. Pastikan ketika anda datang, acara itu adalah untuk anda sahaja. Bukannya kebetulan dengan majlis perkahwinan abangnya, kenduri, rumah terbuka hari raya, hari jadi adiknya dan lain-lain.

Hendak bakal mertua mengenali hati budi anda dalam masa yang sekejap adalah susah. Hendak beliau mengenali anda ketika ada banyak distraction lain adalah jauh lebih payah. Bagaimana beliau mahu melayan anda lagi sedangkan beliau sendiri telah penat atau perlu melayan tetamu lain.

Anda perlu 100% masa dan perhatian to realize your full potential. Datang sebagai hero. Jika anda dijemput datang terlebih dahulu sebagai pelakon tambahan, pergilah out station, balik kampung atau sebagainya. Wanita jarang memahami kepentingan lelaki datang sebagai hero. Bahkan ada lelaki yang underestimate kepentingannya. Don’t gamble.
Sebagai hero, anda bertanggungjawab atas kejayaan atau kegagalan anda. Sebagai pelakon tambahan, ada banyak risiko.

Sebagai contoh, jika ada majlis kemungkinan besar bakal ibu dan bapa mertua anda berada di tempat berbeza. Bagaimana jika dari awal hingga akhir ibu mertua anda sibuk di dapur sedangkan anda telah mahu pulang? Dan beliau pula tidak muncul-muncul ke depan? Bukankah sudah menjadi dilema.

Apa kata beliau jika anda balik sebelum bertemu muka dengannya?
Begitu juga jika kebetulan anda datang wrong timing. Bakal bapa mertua anda duduk di dalam rumah dan kebetulan dari pintu pagar rumah sehingga ke sebelah bapa mertua anda ada orang lelaki duduk berderet.

Adakah anda akan pergi terus ke bakal mertua anda dan bersalam dengan beliau? Bagaimana jika anda ter-miss bakal Pak Long (sebab anda tidak kenal lagi) yang duduk dalam deretan tersebut? Apa kata beliau?
Tapi takkanlah anda hendak bersalam dengan semua sederet tetamu tersebut sehingga ke bakal bapa mertua anda seperti seorang ahli politik? (or worse, seperti budak lelaki yang hendak berkhatan)

Untuk sesetengah orang, mereka cukup street smart untuk handle perkara-perkara seperti ini. Tetapi jika anda sedang membaca mesej ini, lebih baik jangan mencari masalah.
Jadi hero, jangan jadi pelakon tambahan.

Beritahu juga anda ingin datang. Pastikan bakal bapa dan ibu mentua anda ada di rumah dan free ketika itu.

Keempat, saya sangat cadangkan. Jangan duduk terlampau sekejap sehingga dikatakan tidak sudi duduk lama-lama dan jangan duduk terlalu lama sehingga tiada topik mahu berborak. Don’t overstay your welcome.

Biar orang berat hati mahu melepaskan anda balik. Jangan orang tak sabar-sabar tunggu anda balik.

Saya prefer pergi dalam jam 11 pagi atau 3 petang. 11 pagi anda akan secara automatik boleh meminta diri sebelum atau selepas makan tengah hari dan pukul 3 petang secara automatik anda boleh minta diri dalam pukul 5.

Kelima, Ustaz saya cadangkan, untuk pertama kali ini bawalah buah tangan. Macam-macam boleh. Yang paling mudah adalah buah-buahan (preferably Buah-buahan tempatan).

Keenam,jika semasa kehadiran anda,TV sedang terpasang, nasihat saya anda jangan tengok TV sangat. Jadikan TV bahan berbual tidak mengapa. Soalan yang biasanya digunakan sebagai mukadimah adalah, “Pakcik sihat? Pakcik dah lama duduk sini”

Kemudian ceritalah dari situ. Jalan-jalan dan lorong-lorong yang ada dikampung/taman itu. “Pelik ya pakcik lorong-lorong di kawasan ini, tadi saya terlepas satu simpang…”.Boleh juga tanyakan masjid tempat jemaah selalu solat Jumaat dll.

Ketika berbual, jangan tunjuk pandai. Biarkan bakal mertua anda banyak bercerita. Jika dia tidak bercerita banyak, tanya banyak sehingga beliau bercerita banyak.
Sebab jika anda tidak bertanya, anda yang akan ditanya.
Atau worse, dua-dua membisu. Lagi haru.

Ketujuh, anda harus mengetahui dua decision maker yang perlu anda impress iaitu bakal bapa mertua dan bakal mak mertua,yang lain seperti pasangan anda, adik beradiknya, makcik-makciknya adalah bonus. Core adalah dua orang ini. Pay the most attention to them. Untuk orang lain, beri perhatian juga. Tetapi jangan sampai ter-ignore this two key decision maker.

Semua TIPS yang dinyatakan diatas adalah sekadar teori yang saya dapat dari senior-senior (bukan pengalaman penulis) untuk berkongsi dengan pembaca-pembaca blog ini semua. That’s all from me, Good luck! .


  Nazmi Anr
  0040 am


Mungkin Suatu Ketika Dahulu.

on Saturday 2 March 2013
Mereka kata: 

Mungkin suatu ketika dahulu..
aku hambar..
aku diam.. 
ak sunyi tanpa perkataan..
jarang bergaul..
jarang berpeleseran
ahh.. 
kalau ada yang keluar dari bibir
mungkin sekadar "hmm".. 
atau anggukan jadi gantian..

Mungkin suatu ketika dahulu..
aku girang..
ak bising tidak keruan..
ah..
tiada satu hari tanpa aku berkeliaran
belum ada lorong yang belum aku singgah mencari kenangan
mungkin saja andai aku diam
kerana aku runsing
atau fikiran sedang pusing..
sedang cuba merungkai simpulan kehidupan.

Mungkin saja suatu ketika dahulu.
 aku kejam..
aku tidak beriman..
akhlakku mengalahkan haiwan..
perkataanku mengalahkan syaitan.. 
belum ada yang tidak kusakiti dengan kata
belum ada tubuh yang belum merasa amarahku
ahh..
kalau saja aku baik
mungkin kerana berkehendak sesuatu
atau mungkin 
ingin menggoda bunga di taman2 larangan..  

Mungkin saja suatu ketika dahulu.
akalku kosong
jiwaku penuh kacau berbondong-bondong..
ah.
kalau pun terasa tenang
mungkin saja kerana wang mula penuh
ehe, dapat duit tiba-tiba saja
dari 'cabutan' judi di pekan-pekan
atau mungkin di gelanggan lumba kuda..
atau bermain kad di atas meja.. 

ahh..~~ mungkin saja suatu ketika dahulu..

Tetapi kan..
bukankah aku sudah berubah?
aku tidak lagi sunyi tanpa kata.. 
aku sudah mula lantang berbicara
aku sudah pandai mengatur bahasa
mengapa dilihat aku seprti dulu?
mengapa dengki pada perubahanku?
salahkah aku lebih bertenanga?
salahkah aku lebih mengenali jiran tetangga? 

Tetapi kan..
bukankah aku sudah mgubah haluan bicara?
bukankah aku sudah belajar menahan rasa?
aku tidak lagi berpeleseran berlebihan
aku tidak lagi ketawa berdekah tidak keruan.. 
salahkah aku menjadi lebih diam?
salahkah aku berusaha menyimpan kegirangan? 
mengapa mencela diamku?
mengapa diumpat keji penghijrahanku?

Tetapi kan ..
aku kan sudah belajar solat?
aku sudah bertaubat..
aku sudah berhenti memukul dan merembat
perkataanku pun sudah aku tapis penuh hemat..
akhlakku pun sudah kuubah supaya mendekati sifat malaikat..
mengapa dijeling aku sebegitu?
mengapa tidak diterima perubahanku?

Tetapi kan.. 
aku kan sudah mula rajin..
ilmu aku cari 
pekerjaan aku usahakan
rumah2 Allah menjadi tempat aku mengadu nasib..
mengapa dihalang usahaku?
mengapa ditutup pintu rezekiku?

Aduh.. 
kulihat ketika ini manusia tidak mampu menerima perubahanku..
jadi bagaimana mungkin..
aku yang masih terkapai-kapai ini..
mahu menjadi lebih baik?
ahh..
mereka kata "usah didengar kata org, teruskan saja!"
mudahnya kau kata..
bayangkanlah apa rasaku..
ketika aku mendaki..
aku dihenyak semahunya?
ketika aku lemah..
tiada yang membantu?

Begitulah~~
ketika Allah dijadikan yang kedua, 
hidup menjadi kucar kacir..
jiwa tiada tenang.. 
akhirnya penghargaan manusia juga yang diharapkan..
hingga usaha mulia hilang begitu saja..


kan?~~ 

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhAo0Cj3wlAk2IJv8yml5coHs7_jcf-j29LsNpUS3Db1h_e4af0MCWNF_ghlyy2cen1a1GgGkG81RTDby6DDOQRVYWH5zpYnJVde4WSXjgCwV_na-UcibT3twYMnTxLH88soPqe2fYqyQ_o/s320/taubat_tasbih.jpg

 Taufik
20:23
2/3/13