YA Allah! Aku Jatuh Cinta! - Siri 3: Berpisah.

on Wednesday 1 May 2013
Bismillah.

Segala sesuatu yang dilakukan di dunia ini, kalau tidak bersandar kepada Allah SWT maka hal itu menjadi sia-sia. Tiada sesuatu pun yang dilakukan di dunia ini akan berjaya kalau bukan dengan mengikut cara Nabi Muhammad SAW. Pasti hujungnya akan gagal pula.


InsyaAllah, post kali ini adalah sambungan kepada Siri 2 - Patah Hati. Kalau hendak ikutkan, tidak tergerak pula untuk menyambung post tersebut pada siri ketiga tetapi perasaan saya bagaikan memaksa untuk menyambung kerana terasa ada yg perlu diluahkan.

Bicara pada post kali ini bukanlah fatwa, hanya sekadar perkongsian minda dan pengalaman, kerana saya juga manusia, pernah melalui suka duka kehidupan. Kali ini, insyaAllah mari bermuzakarah soal patah hati dari sudut perpisahan pula.

Berpisah.

Boy : Saya minta maaf. Kita perlu berpisah.
Girl : Mengapa? Ada yang tidak kena ke?
Boy : Hubungan kita selama ini salah.
Girl : Salah? Kenapa? Kita tidak bertemu.. kita tidak berpegang tangan. Kalau berjumpa pun pasti ada org lain temankan, bukan?
Boy : Susah hendak saya jelaskan. (menamatkan perbualan)
Girl : -hancur hati-

Saya kurang pasti situasinya bagaimana di dunia realiti ketika sepasang kekasih berpisah. Kali terakhir saya melakukan itu, perbualan di ataslah yang saya hadapi.

Alhamdulillah, ramai juga dalam kalangan remaja masa kini yang sudah melompat ke dunia tarbiyyah mula merasakan nikmat dalam hidup bertarbiyyah.

Kenapa?

Dengan hidup dalam tarbiyyahlah, mata hati akan terbuka. Secara automatiknya kita akan kenal yang mana intan, yang mana kaca. Secara halus kebaikan akan mula meresap ke dalam diri dan secara perlahan-lahan kita kan mula membenci keburukan. Itu fakta. Sebagaimana kebaikan masuk ke dalam diri maka begitulah keburukan akan keluar ke dalam diri kita.

Seronok melihat anak-anak muda yang mula menjinakkan diri dalam jemaah pilihan masing-masing. Ada yang mula keluar 3 hari, ada yang seronok dalam usrah dan ada yang berjuang dengan caranya yang tersendiri. Bahagia rasa di hati melihat anak-anak muda yang mula meluangkan masanya di dalam perjuangan menegakkan kebenaran.

Dari didikan tarbiyyah inilah, anak-anak muda remaja ini mula berkenalan dengan 'kejahilan' semasa belum melompat ke dunia dakwah sebelum ini. Barulah mereka sedar ada beberapa hal dalam hidup mereka yang harus ditinggalkan, demi membaiki diri pada masa hadapan.

Nabi berpesan, mintalah fatwa daripada hatimu sebagaimana disebut di dalam hadis yang bermaksud: 

Daripada al-Nawwas ibn Sam’aan r.a. daripada Nabi SAW baginda bersabda:

Kebajikan itu ialah keelokan budi pekerti dan dosa itu ialah apa yang tergetar dalam dirimu dan engkau benci orang lain mengetahuinya.

Hadis riwayat al-lmam Muslim.

Jadi tidak hairan, kalau ada ramai dalam kalangan insan yang mula berjinak dengan kerja-kerja dakwah mula meninggalkan rasa jahiliyyahnya dek kerana rasa kurang selesa yg datang daripada suara hatinya. 

Sudah kebetulan post ini berlingkar pada Jatuh Cinta, maka insyaAllah kita lihat dari perspektif cinta pula. 

Berpisah : Bagaimana hendak meluah rasa? 

Melafazkan kata "eloklah kita berpisah" setelah menjalinkan hubungan percintaan yang agak 'berusia' pastilah amat memeritkan apatah lagi sekiranya keadaan itu secara mendadak. Pasti ada pihak yang kurang senang dan pasti salah seorang kalau tidak kedua-keduanya akan patah hati dan kecewa. Sudah menabur janji dan kasih secara tiba-tiba hendak melupakannya begitu sahaja? 

Oh, pasti tidak mudah!

Kebanyakan 'pasangan' yang mengambil jalan berpisah sebagai cara mengelak perkara lagha dalam hidupnya mengambil mudah soal ini. Akibatnya, salah seorang akan hancur hati dan selalunya yang menjadi mangsa adalah si kaum hawa (mengikut pengalaman saya dan penceritaan org lain kepada saya). Walaubagaimanapun, saya akan berusaha memberi respon kepada hal ini secara neutral yang mungkin supaya kedua-dua gender boleh mengambil manfaat daripadanya. 

Anda yang meluah rasa 'berpisah'. 

Jangan 'menggantungkan' si dia dengan persoalan demi persoalan. Jangan biarkan mereka yang mencari jawapan sendiri. Hal ini akan merugikan kedua-dua pihak kerana matlamat utama berpisah tidak tercapai. 

Mengapa?

Walaupun dikelabui motif berpisah kerana berasa sudah terlalu banyak perbuatan salah sepanjang bergelar pasangan 'romeo dan juliet' dahulu, belum tentu motif dan matlamat utama perpisahan itu jelas. Soalnya, yang meluahkan rasa untuk berpisah ini, benar-benar fahamkah mengapa dia perlu berpisah?

Hal inilah yang harus diselesaikan dahulu oleh yang meluahkan rasa untuk berpisah. Amat penting untuk golongan ini faham dan do some homework on kenapa perpisahan itu adalah cara yang terbaik? 

Sama seperti dalam peperiksaan. Soalan selalunya akan berfokus kepada penjelasan. Kalau penjelasan kepada jawapan sudah salah (kecuali soalan matematik), bagaikan jawapan itu boleh dikira betul dan diterima akal. 

Hal ini tidak hanya berlingkar di sudut perpisahan cara baik sahaja, tetapi juga merangkumi hal melangkah ke alam pernikahan (akan dibincangkan di post seterusnya). 

Berbalik kepada soal memahami maksud perpisahan itu sendiri, ada beberapa hal yang perlu ditanyakan kepada diri sendiri sebelum melafazkan 'talak' kepada pasangan. 

1. Mengapa kami perlu berpisah?
2. Kalau yang kami lakukan selama ini salah, maka apa yang salah?
3. Apa matlamat utama kami bercinta dahulu? 
4. Kalau sudah nampak apa yang salah, kenapa itu salah? 

Meminta fatwa kepada hati juga perlu kepada sandaran hujah. Terutama hal yang berkaitan dengan emosi dan perasaan. Hanya penjelasan dan masa serta doa kepada Allah SWT yang akan mampu mengubatinya nanti. Maka buatlah sedikit kerja rumah dan kajian atas hal tindakan yang kamu akan lakukan. Istikharah dan istisyarahlah. Bermesyuaratlah dengan orang yang dipercayai dan juga berbincanglah dengan Allah SWT. Pasti ada jalan terbaik. 

Dalam hal ini juga, ada juga individu yang memilih tawakkal dan hanya bergantung harap supaya org kedua itu faham maksud perpisahan itu. 

Masalahnya ialah, otak dan fikiran manusia tidak sama. Masing-masing unik dan mempunyai cara tersendiri dalam menterjemah satu-satu mesej yang disampaikan kepada mereka. 

Cuba bayangkan, kalau kita melafaz rasa berpisah tanpa penjelasan dan kita kononnya hanya pasrah dan bertawakkal, lalu si dia tidak mampu menerima hakikat lalu membunuh diri? Tidakkah kita akan diselubung rasa bersalah? Benar..kita berlepas diri daripada tindakannya kerana itu pilihannya sendiri tetapi dunia tidak memandang begitu. Takut2 pasrah dan tawakkal kita itu menjadi fitnah kepada agama yg kita pegang!

Kena ingat, di tengah-tengah antara redha pada takdir dan tawakkal itu wujud sesuatu yang kita panggil sebagai "ikhtiar".

Atas sebab itulah, amat wajar bagi yang mahu memulakan bicara 'talak' ini melengkapkan dirinya dengan kefahaman akan mengapakah perlu dia berpisah. Saya tidak suruh bertangguh, tetapi meminta supaya mereka ini berpisah cara baik dengan penuh kefahaman dan masing2 menerima dengan lapang dada walaupun rasa sedih dan kecewa itu tetap akan hadir. 

InsyaAllah, rasanya sampai di sini sahaja dahulu perkongsian pertama untuk hal berkaitan perpisahan ini. InsyaAllah saya akan sambungkan pula dengan pemahaman kepada 4 soalan utama tadi :

1. Mengapa kami perlu berpisah?
2. Kalau yang kami lakukan selama ini salah, maka apa yang salah?
3. Apa matlamat utama kami bercinta dahulu? 
4. Kalau sudah nampak apa yang salah, kenapa itu salah? 

untuk memudahkan kita 'berpisah' dengan cara baik dan berlapang dada. Kalau post ini terlalu panjang nanti kurang menarik pula jadinya kan? 

Jadi insyaAllah, simpulnya, melihat anak-anak muda yang mula berjinak dalam dunia dakwah adalah suatu hadiah dripada Allah yang amat istimewa. Dalam kegusaran kita melihat anak remaja kita banyak yang tersungkur, masih ada lagi yang mampu membawa matlamat harapan agama itu ke hadapan demi generasi masa hadapan. Ada yang melompat ke dunia tarbiyyah sudah mula meninggalkan dunia jahiliyyahnya dahulu, antaranya dengan berpisah dengan pasangan cintanya demi membaiki diri masing-masing. Namun, perlu selalu diingatkan tiap perkara yang terutamanya melibatkan emosi harus disusuli dengan penjelasan yang jelas dan kuat, supaya kedua-duanya mampu berlapang dada dengan keputusan tersebut. 

Jmpa di post yang akan datang, insyaAllah. Moga Allah memberi ilham yang terbaik. 

TAUFIK
S. Alam. 
0940
01/05/2013