Ya Allah! Aku Jatuh Cinta: Siri 4 - Reset Cinta

on Wednesday 25 September 2013
Bismillah.. 

Allah.. Allah.. Allah. 

Tiada kejayaan di dunia ini yang setanding dengan kemampuan untuk taat pada perintah Allah dan mengikut ajaran Nabi Muhammad S.A.W. Tiada cara yang lebih baik lagi terbaik selain daripadanya. 

Allah.. Allah.. Allah.. 

Sekian lama juga penulisan blog ini saya tinggalkan. Kiranya atas asbab lambakan kerja dan tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang sedang berhadapan dengan tahun akhir sebagai pelajar Ijazah, maka dunia penulisan maya ini saya tinggalkan sebentar. 

Kini kembali, sekadar mahu berkongsi sesuatu yang lama mahu dikongsi tetapi belum bertemu waktu yang bersesuaian untuk dihamburkan melalui papan kekunci ke alam maya ini. 

Noktah. 

Ada pernah suatu ketika dahulu saya menyaksikan suatu rancangan berbentuk motivasi dan penceramahnya ialah Dato' Fadhilah Kamsah.. Saya ingat benar, kata beliau untuk menenangkan hati, lihatlah alam hijau. Benar sungguh.. tiap kali saya memandang alam, akan ada suatu ketenangan yang menyusup perlahan ke dalam hati. 

Sebab, dari alam yang luas itu saya melihat jauh lagi. Alam yang luas dengan bumbung langit tanpa tiang, siang dan malam bersilih ganti.. pohon tumbuh rimbun, ikan yang berenang di lautan, tiap kali saya memandang semua ini saya berasa kerdil, dan berasa tenang. 

Di sebalik semua ciptaan ini ada Allah, dan tidak lain tidak bukan, dengan mengingati Allah maka hati akan tenang... 

Maka ambillah waktu sejenak memandang beberapa picisan gambar yang saya 'pinjam' daripada laman sesawang "Google". 

Tenangnya melihat gambar-gambar ini.. Apatah lagi kalau mampu melihatnya sendiri di hadapan mata. 

Allah.. Allah.. Allah. 

Hari ini cinta yang kita damba harus di'reset' kembali agar penetapan (setting)nya tidak lari daripada mksud fitrah kita sebagai manusia. 

Pusinglah ke arah mana-mana sekali pun, tidak ada satu arah pun di dunia ini yang tidak menunjukkan kebesaran Allah SWT. 

Tiada apa2 yang mampu berlaku dan mampu membawa mudarat melainkan dengan izin Allah jua, dan Allah pula tidak mengizinkan hamba-hambaNya bertawakkal secara membuta, tanpa pula melibatkan usaha. 

Bukankah Allah sudah menegur kita, bahawa Dia tidak akan mengubah takdir melainkan dengan usaha kita untuk mengubahnya.. Bukanlah kerana Allah itu bersandar kepada kita untuk mengubah dan mengatur alam ini, Maha Suci Allah daripada itu.. tetapi Allah memberi kita akal untuk mendidik diri berdikari dan berjuang, kerana syurga itu mahal harganya... 

Sandaran maksud hidup dan pengharapan hari ini harus diresetkan dan diperbetul kembali. Tiada satu masalah pun yang tidak mampu diselesaikan dengan bantuan Allah. Masalah akan selesai apabila kita meletakkan Allah sebagai perantara usaha kita. Tanpa Allah, maka masalah akan menjadi semakin menjadi-jadi dan semakin kronik, malah akan bertambah dan bercambah menjadi masalah baharu. 

Kecintaan dan damba hidup harus diperbetul dan diluruskan kembali. Tiada apa upaya di dunia ini yang mampu mengatasi kemampuan Allah SWT dalam memperbetul dan menyelesaikan masalah. Maka, sandaran pertama haruslah Dia, kemudian diikuti dengan usaha yang bersungguh-sungguh. 

Ramainya antara kita yang sedikit-sedikit tertipu dengan damba cinta hati sendiri. Kalimat "Cinta kerana Allah" sudah menjadi bagaikan "trend" ikutan untuk menghalalkan masalah hati yang kian menjadi zaman ini. Laman-laman sosial sudah menjadi tempat hamburan fitnah teruna dan dara. Saban hari, ada saja yang menghambur rasa tidak tentu arah. 

Setting cinta kita sudah lari. Kita letakkan Allah hanya untuk urusan bercinta dan mencari pasangan. Kita letakkan Allah hanya untuk urusan-urusan akhirat. Kita letakkan nama Allah dalam kemaksiatan kita. Ini yang harus diresetkan kembali. 

Agama bukan alat untuk menghalalkan cara. Tetapi agama adalah penyinar dan penunjuk jalan betul kepada cara. Agama bukan sandaran tetapi agama adalah kehidupan!

Maka dalam urusan sehari-hari, harus malah wajib utk kita refleksi diri sebentar dan melihat ke dalam.. 

Sudahkan kita reset kembali sandaran cinta dan damba kasih kepada Allah SWT? Tiada salah dalam menyayangi ciptaan Allah SWT kerana sememangnya Allah ciptakan dunia ini untuk kita. 

Janganlah sampai dunia ini jadi rantai hati lalu lupa kepada penciptanya pula. 

Wallahualam.. 

Taufik
UTP
12.23am 25/9/2013