Tarbiah Vs Futur

on Wednesday 14 August 2013
Bismillahirrahmanirrahim..

Kekuatan dakwah terletak pada kekuatan pendokongnya, kekuatan pendokongnya terletak pada hatinya, kekuatan hatinya terletak pada bekalan imannya.


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, yang menggerakkan hati-hati seluruh pelusuk dunia, untuk berkumpul bersama, membina iman dan taqwa, membersihkan kembali niat-niat yang kadangkala tergelincir dari landasan tarbiyyah, dan untuk segala-galanya. SYUKUR.

subhanAllah wa alhamdulillah.

Sungguh, dakwah ini hanya ada dua jenis manusia, "ORANG YANG MAHU, DAN ORANG YANG MAMPU."  hanya orang yang betul-betul mahu sahaja akan dikuatkan dengan iltizam dan thumuhaat yang berterusan untuk tsabat di jalan ini.

persoalannya, bagaimana untuk membangkitkan rasa 'mahu' itu?  iaitu sejauh mana kamu merasakan tarbiyyah ini adalah satu urgensi terhadap diri kamu. 

Binalah diri dengan ciri-ciri muwasofat yang kita imani, kerana dengan memperbaiki diri, maka kita akan memperbaiki orang lain. Semoga kita tidak berguguran/futur sebelum berjuang. 



Bila hati mula merasa resah, dan kosong tanpa ruhi, tahukah kamu wahai diri? Ia sedang merindukan Al Khaliq ? Itu adalah frekuensi cinta dari makhluk yang bernama hati. Zalimlah diri jika masih mengisi hati dengan jahiliyyah dan bahan yang menjauhkan hati itu dari kembali kepada Tuhan yang menciptakannya.

Jika futur sedang menghiasi diri, ingatlah kembali, saat pertama jiwa disentuh, tidak kah kamu begitu bersemangat untuk mengubah diri ? lantas mengubah dunia dan keadaan ummah kita? Carilah kembali hati yang penuh himmah yang tinggi itu. Jagalah mutabaah amalmu,tingkatkanlah amalan sunatmu, janganlah kefuturan mengurangkan kuantiti ibadah, seharusnya harus lebih dipertingkatkan lagi. Biar kualitinya mungkin tidak sama seperti ketika kamu sedang berjiddiyah tinggi, namun diri masih tetap berusaha untuk menjaga hubungan dengan Ilahi. Moga nanti ada kurnia Tuhan atas kesabaran kamu dalam ujian itu nanti.

Kerja kita masih banyak, lihatlah sekeliling, anak gadis dan pemuda berpeleseran, bayi-bayi kecil yang tidak berdosa ditemui dalam keadaan menyedihkan.Kejadian tembak-menembak makin berleluasa disana-sini.Penghinaan terhadap islam menjadi semakin ketara. Beginikah ummah yang mahu kita lahirkan? Kita tiada masa untuk hanyut dalam kefuturan, kerja-kerja pengislahan dan pentarbiyyah harus bergerak lebih deras dari arus jahiliyyah. Dakwah adalah suatu kerja yang besar, dan ia akan terus bergerak, sama ada kita bersamanya, atau tanpa kita bersamanya.


Ingatlah,
Seorang pemain bola akan dipanggil bodoh jika sibuk membuang kemuncup di stoking sehingga terlupa peranannya di atas padang sebagai seorang pemain bola. Boleh jadi kumpulannya kalah disebabkan sikapnya itu.

Seorang driver dipanggil bodoh jika sibuk menghalau lalat dalam keretanya sehingga terlupa dia sebenarnya sedang memandu. Boleh jadi juga kemalangan disebabkan sikapnya itu.

Sama juga dalam apa jua pekerjaan sekalipun.

Seorang daie boleh dikira bodoh jika berputus asa dan futur disebabkan:
- merasa tidak dihargai
- irihati dengan kawan
- diuji dengan pelbagai ujian
- dan lain-lain perkara yang mengganggu tugas dakwahnya.

Semoga kita tidak bodoh, dan boleh membezakan yang mana lebih utama dalam kehidupan.
~Orang yang buat kerja besar, takkan terganggu dengan kerja kecil~

Banyak masanya dalam hidup ini, kita yang perlu mengejar tarbiyyah;
 bukan cuma menunggu tarbiyah berlari mendekati kita. 

Dan saat kita merasa hati semakin memberat bila berada di jalan ini, 
ketahuilah itu tandanya jahiliyyah kembali merajai diri.

Satu hakikat yang kita perlu mengerti:
Tarbiyyah jarang sekali meninggalkan kita,
Kita yang sebenarnya selalu mengkhianati tarbiyyah itu sendiri.

Yang menulis untuk mengingatkan diri,

Nazmi anr
1035 am