Kembali Melakar Rasa; Jangan Berputus Asa.

on Saturday 22 March 2014
Bismillah. 

Arakian, seperti kebiasaannya aku dahului kata-kataku dengan sedikit peringatan. Tiadalah apa-apa daya upaya di dunia ini yang mampu membawa kepada kejayaan melainkan dengan menghidupkan amal dengan cara yang telah diajarkan Rasulullah S.A.W dan taat pada perintah Allah SWT. 

Begitu bicaraku, ringkas tetapi kuharap isinya yang cukup padat dapat difahami semua. 

Sekian lama, iya. Kukira sangat lama laman ini kutinggalkan terbiar di alam sesawang tiada kunjungan. Sesekali terasa rindu juga melihat diriku yang dahulu, yang acapkali rasa dan rintih aku luah di balik papan kekunci, dan aku salur daripada kata yang aku susun di akalku. Lalu aku terjemah menjadi suatu susunan bicara untuk tatapan semua.

Iya, ketika itu aku masih polos. Masih lagi berjinak-jinak dengan dunia penulisan. Baru sahaja mahu merasai alam luahan rasa di alam maya seperti orang-orang lain pada ketika itu. Sungguh, perasaannya ketika itu, Tuhan sahaja yang mampu menterjemahnya. 

Kali ini aku mengadap skrin ini lagi. Dengan ilustrasi yang lebih mesra pengguna berbanding sebelum ini. Iya, lama benar laman ini aku biarkan. 

Lama hati kecamuk ini minta dan meronta. Baru malam (pagi) ini terasa jari-jemari ini mahu bermain dan menari bersama di atas papan kekunci plastik ini, dengan deru angin malam yang sesekali mengintai dari balik jendela, meniup lembut tiap roma yang ada di tubuh. Sekian lama, lama ini aku biarkan tiada kunjungan. 

Dulu inilah tempat meluah ketika aku sedang kecamuk rasa. Mungkin ini masa untuk aku kembali mengoreksi segalanya di sini. 


Putus Asa. 

Aku yakin, ramai yang mengenali dua perkataan ini. Bahkan ada yang seringkali bertemunya dalam perjalanan hidupnya berkelana di dunia yang sunyi sepi ini. Iya, aku juga begitu. Kala aku ketawa gembira, tidak ramai yang tahu di dalam ini aku sedang menangis, merintih, dan kecewa. Tidak ramai yang tahu bahawa aku juga manusia, di balik kasar dan kerasnya aku dalam berbahasa, aku juga mempunyai kecamuk jiwa yang rontanya tidak semua aku zahirkan. 
Aku sudah melalui banyak fasa kehidupan dan diwarnai oleh pelbagai lapisan karakter yang sesekali mencuit rindu di kala aku berseorangan atau sedang dalam keramaian. Kenangan, mana mungkin dilupakan bgitu saja? Aku boleh saja katakan aku sudah mula mengangkat diriku dan bergerak ke hadapan, tetapi jauh di suatu sudut hatiku, mereka sudah pernah bertapak, kusayangi seperti darah dagingku sendiri. 

Mrsm. 

Aku dikurniakan hati lembut dan halus. Diberi anugerah untuk mudah menyayangi dan alhamdulillah dalam pemerhatianku, masih aku diberi rezeki untuk berkongsi rasa sayang itu dengan orang lain. Dalam usia aku membesar, aku bukan seorang anak yang baik, apatah lagi seorang adik beradik yang baik. Aku gagal dalam menjadi adik dan abg yang baik untuk adik dan abg aku di halaman tempat aku dibesarkan. 
Iya, aku keras kepala dan gagal memahami tanggungjawab sebagai seorang abang terutamanya. Mungkin itu yang membawa aku berkelana ke sekolah berasrama penuh, di mana ada insan2 yang mahu dan perlu aku belai dan aku jaga, aku perhati dan aku letakkan sayang padanya. Di situ tempatnya ketika itu, MRSM Kota Kinabalu. 

Di sini aku membentuk diri dan menggalas tanggungjwab. Iya, di sini aku belajar menjadi seorang abang yang lebih baik, dan dikurniakan karakter2 yang mewarnai hidupku di sekolah berasrama. Orang kata ketika ini sangat mudah mempunyai abang dan adik angkat, maklum, sunyi. Tetapi bagi aku tidak, tiap2 insan yang aku dekati aku mempunyai misi yang tersendiri. Dan yang paling utama sudah tentu untuk mendidik diri sendiri. 

Gagal. 

Bagi aku, apabila mereka sudah mula menjauhkan diri maknanya aku sudah gagal dalam misiku. Tetapi Allah tidak pernah berhenti mengurniakan aku insan2 untuk aku beri perhatian padanya. Sehingga kini alhamdulillah, mereka masih kekal berhubung, tetapi kali ini aku lebih berhati-hati.. Mana mungkin aku biarkan hati ini dipatahkan lagi. Cukuplah memori lama mengajar diri, pipit tidak boleh terbang bersama helang. Harus selalu sedar diri. 
Jangan Putus Harapan. 

Iya, ada masa aku akan terkenang-kenang, ada masa dari kenangan itu air mataku akan mudah sekali meluncur ke bawah pipi, dan situ aku terngiang-ngiang smua memori lama berbantalkan air mata yang basah banjir di balik tangisan. Allah saja yang tahu ketika kenangan itu datang bertandang bagaimana rasa hancur yang sedang bertimpa-timpa bertimbun di atasku. 
Cuma, aku harus selalu sedar, bahawa setiap insan yang datang kepadaku adalah suatu amanah, dan apabila tugasku sudah selesai maka perlu aku sandarkan kembali jagaan itu kepada pemilik asal mereka, iaitu Allah. Andai mereka memilih untuk hilang, maka harus diredhakan, harus aku lepaskan. Bukan 50 ribu tahun sebelum alam ini tercipta, perpisahan itu sememangnya sudah tertulis di Luh Mahfuz sana? Bukankah aku menjadi hamba yang tidak molek andai aku tidak beriman kepada ketentuan ini? 

Begitu juga halnya pada perkara lain. Hancur hati ini mengajarku banyak perkara. Bahawa hal-hal dunia ini tanpa sandaran cinta kepada Allah maka hujungnya hanya akan ada kecewa. Bukankah talian kasih itu ditaut kerana cinta kepada agama-Nya, maka jika begitu bukankah berpisah tidak gundah, bertemu tidak jemu? 

Pada keputus-asaan itu akan datang ruang pada iblis dan syaitan untuk mengambil peluang mereka, untuk membawa hamba ke arah kekufuran. Apakah adil untuk diriku andai kesedihan tidak mampu meraih sesuatu yang tidak ditakdirkan untukku untuk aku rosakkan iman yang begitu sukar untuk dibaiki lagi? 

Duhai diri yang sedang berkecamuk, 

Kembalilah bangkit pada dua kakimu
langkahlah semula ke hadapan
masa depan itu misteri
sedangkan hari ini hakiki. 

Hiduplah untuk bangun pada hari esok untuk baiki hari semalam. 

Duhai diri yang sedang gundah gulana, JANGAN BERPUTUS ASA!

Taufik
Gombak
22/3 - 2.29am