Ya Allah Aku Jatuh Cinta: Siri 6 - Melakar Rasa

on Saturday 14 December 2013
Bismillah. 

Tiada satu cara di dunia ini, melainkan dengan cara yang telah dipraktikkan oleh Nabi Muhammad, Rasulullah S.A.W akan membawa kepada kejayaan. 

Begitu. Setiap kalinya, pasti begitu. 

Alahai sayu melihat tatapan penulisan yang lama dibiarkan tiada jenguk. Kasihan pada diri, ditelan pada kesibukan yang entah apa-apa. 

Untuk ke sekian kalinya, jari jemari ini dibenarkan lagi untuk menulis, dan dalam konteks ini, menaip. 

Lama memikirkan anekdot-anekdot kehidupan yang ingin dikongsi. Saban hari, waktu, dan ketika, akal ini tiada henti berfikir-fikir untuk mencari ilham untuk dikongsi di alam maya. 

Buntu. Setiap kali juga buntu. Bukan kerana tidak tahu mahu menyampaikan apa, tetapi tidak tahu mahu menyampaikannya dengan cara yang sepatutnya. 

Maka terbiar sahaja ilham itu. Tersimpan, tiada luah dari kata. 

Tapi kali ini, alhamdulillah. Ada sisa kehidupan yang terasa ingin dikongsi, yang dibaca, yang ditelaah, yang dilihat dan diperhati melalui deria yang dipinjam daripada Yang Maha Esa. 


Melakar Cinta

Sesekali apabila perkataan ini bergema, ramai sahaja yang mula menafsir berjela, adakala sehingga lari daripada maksud yang cuba disampaikan. Melihat atau mendengar sahaja perkataan CINTA, maka yang tergambar di kepala, yang diimaginasi di jiwa pastinya romantis antara dua jantina, bersama kata-kata manis yang mngikat dua jiwa.. 
Aduh, kadangkala saya kecewa dengan limitasi pemikiran masyarakat kita. (termasuk saya juga..=))

Lakarlah cinta pada diri dengan tulisan. Ajaklah pena bermain di atas lapangan kertas putih. Luahkan rasa, semadikan ilham pada penulisan. 
Penulisan adalah salah satu terapi yang baik untuk menyalurkan perasaan, sama ada gundah, gembira, sedih, amarah, atau kecewa. Daripada penulisan, kita mampu untuk menyelami perasaan kita dengan sebaiknya, dan mencari punca kepada permasalahan yang mengganggu fikiran dan ketenangan jiwa kita. 

Menulislah, lakarlah acuan minda dan rasa pada helainan kertas. Salurkan gundah, salurkan kecewa pada hamparan putih dengan mata pena. 

Selami rasa, selami jewa sedalam-dalamnya. Andai marah, maka luahkan amarahmu. Andai kecewa makan menagislah dalam penulisanmu. 

Memulakan Lakaran Di Kala Gundah Gulana. 

Pada waktu gundah rasa, ketika ini perasaan mula bercampur baur. Akal hilang kemampuan untuk membaca fikiran sendiri. Gagal menafsir perasaan yang sedang berkecamuk. Pada waktu inilah seringkali tekanan bertandang dek gagal mendefinisi perasaan. 

Jangan menyeksa diri! 

Ambil sebatang pen. Ambil sehelai kertas. Atau mungkin pen dan kertas di alam maya. Andai terus berpusing-pusing mencari jalan keluar sedangkan diri sedang kebuntuan, berhenti sebentar. Menulislah! 

Mulakan dengan kecamuk rasa.. 

Mulakanlah hamparan penulisanmu dengan meluah rasa yang kecamuk. Kalau marah, tulislah sedang marah pada apa.. pada siapa? Kenapa? Di mana? Tulis satu persatu semua perinciannya. Dalami perasaan itu.

Kemudian sedih dan kecewa..

Lalu luahkan kekecewaanmu. RAsakan dukamu. Dalami perasaanmu. Nukilkan tiap rasa kecewa yang ada pada hatimu. Dari sini, insyaAllah, maka akan rasa lega sedikit di dada..

Habiskan dengan harapan dan gembira.. 

Lalu dari perasaan2 tadi, sambung pula dengan rasa harap dan rasa bersyukur atas nikmat2 yang pernah ada selama ini. GEmbirakan hatimu dengan menyambng penulisan itu dengan menulis harapan akan datang untuk perkara yang memberi kecamuk pada rasa itu. Sambung dan habiskan dengan perasaan gembira dan bersyukur, dengan melihat nikmat2 yang masih lagi kita punyai, dan beritahu pada hamparan kertas itu betapa bertuahnya kita kerana diuji. Dalami perasaan sebagai seorang hamba dan rasai syukur seorang hamba atas dugaan daripada Penciptanya. Dekatkan rasa pada Allah dan tukarlah segera rasa kecamuk dan marah itu kepada rasa gembira kerana Allah masih mahu menguji kita.

Simpulnya, menulis bukan hanya untuk sekadar bercerita, tetapi untuk mendalami rasa sebenarnya. Ada ketika kita tak mampu untuk memberitahu dan menjelmakan rasa dalam bentuk kata-kata. Malah kebanyakan waktu kita hanya diam memendam rasa.

Maka menulisnya! Jangan dipendam rasamu lama2. Jangan biarkan perasaan itu nanti menjadi racun pada hati dan membuatmu hilang pertimbangan sebagai hamba. Jangan nanti perasaan itu menjadi duri lalu menghilangkan rasamu sebagai manusia..

MENULISLAH!

Taufik
14/12/13
03:11