Ya Allah! Aku Jatuh Cinta! - Siri 1

on Wednesday, 27 March 2013
Bismillah.

Tiadalah tatacara kehidupan yang akan membawa kepada kejayaan melainkan dengan mengikut jejak para syuhada yang telah berjaya di dunia bahkan gemilang akhiratnya. Tiadalah kejayaan melainkan dengan mengikuti perintah Allah dan taat kepada Sunnah Rasulullah SAW.

Begitu mukaddimah, seperti selalunya. Moga saja mampu merawat pencarian jalan juang yang seringkali kita tercari-cari akan kehadirannya sedangkan selama ini sudah ada di hadapan mata.

Noktah.

Alhamdulillah. Dalam dua minggu sahaja lagi, lebih tepat lagi lebih kurang 16 hari daripada hari ini, saya akan meninggalkan syarikat AMR ENVIRONMENTAL SDN BHD dan menyambung kembali kehidupan sebagai seorang mahasiswa untuk tempoh lebih kurang 8 bulan lamanya. Tetapi insyaAllah, rintangan tahun akhir kali ini, saya akan hadapi 'berdua'. ^^.

Perbualan yang sedikit meleret semalam dengan seorang sahabat lama saya, berkenaan "Cinta Berperaturan" membuatkan saya rasa terpanggil untuk menulis di atas hamparan maya ini. Namun disebabkan kesihatan yang tidak mengizinkan semalam, maka niat itu tertunda ke hari ini pula.

 Melihat-lihat status yang berjela di atas hamparan news feed facebook kadangkala membuatkan saya tergelak kecil sendiri. Lucu, rimas, dan kadangkala meluat juga ada hadir dalam perasaan ketika membaca status-status updates daripada adik2 yang baru menginjak usia remaja.

"Duhai Adam, aku Hawa perlu pada perhatianmu,"
"Wanita diciptakan daripada tulang rusukmu..."
"Ya Allah, peliharalah jodohku di sana.."

dan banyak lagi status lainnya yang menggelikan hati setiap kali membacanya. Belum lagi yang sibuk share gambar pelamin, gambar cinta Islamik dan sebagainya. 

Apabila melihat trendnya, kebanyakan remaja kini banyak menggunakan alasan "cinta kerana Allah" dan "cinta itu anugerah Allah" sebagai tempelan di hujung ayat sebagai hujah untuk mereka bercinta. Tetapi persoalannya, apabila anugerah dihargai melampaui yang memberikan anugerah, tidakkah anugerah itu akan menjadi obsesi yang melampau, lalu gagal menghargai nilai sebuah anugerah itu sendiri? 

Saya berikan analogi mudah, apabila anda menerima hdiah daripada ibu anda, yang mana satukah anda akan lebih hargai? 

Ibu yang memberikan hadiah itu melalui kasih sayangnya, atau hadiah yang anda terima?

Sudah tidak selayaknya anda melebihkan hadiah itu berbanding ibu anda bukan? 

Persoalan pokok pada isu 'anugerah' ini adalah, setiap perkara yang diberikan atau dianugerahkan kepada kita datang dengan cara dan peraturannya. 

Saya sama sekali tidak menolak Cinta. Cinta itu sebati dengan jiwa manusia. Ia hadir bersama dan tidak boleh terpisah. Ia diciptakan bersama jiwa manusia yang sememangnya dahaga pada cinta dan perhatian, rasa prihatin dan kasih sayang. Ia wujud bagaikan langit dan bumi, siang dan malam, matahari dan bulan.. kalau terpisah, ADUH! Merana satu badan. 

Soalnya, peraturan dan cara dalam mengenalpasti cinta dan menjalani percintaan itu sendiri, adalah pokok utama yang harus difikir dan difahami sebelum masuk ke "Taman-taman Cinta" ini. 

Apabila Fitrah Menjadi Fitnah.

 
 Acapkali juga kedengaran hamparan kata dan hujah yang menyatakan bahawa cinta itu adalah fitrah bagi manusia. Jadi kenapa harus dikekang dan dihalang? Bagi saya, jawapan untuk persoalan itu mudah. 

Ada kalanya, yang fitrah akan menjadi fitnah. Begitu juga keadaannya seperti dosa-dosa kecil, kalau dilakukan terlalu kerap boleh jadi dosa besar. Hal yang halal boleh jadi haram kalau diperlakukan dengan zalim, iaitu tidak diperlakukan dengan selayaknya atau dengan kata lain, tidak mengikut peraturannya. 

Siapalah yang dapat menafikan keperluan Cinta dalam hidup kita? Andai ia tidak ada, saya pasti dunia ini boleh jadi huru hara. 

Namun, dek kerana kita ini manusia yang Allah berikan akal dan diangkat sebagai makhluk paling sempurna antara semua ciptaanNya, Allah berikan kita manual dalam mengawal dan memperlakukan cinta dengan selayaknya. 

Cinta itu suci dan sepatutnya tiada sandaran kepada apa-apapun untuk membuktikan kesuciannya. Kalau sekiranya kita mendefinisi cinta itu dengan cumbu-cumbuan, berjumpa dan berpegangan tangan, berkasih-kasihan tanpa ikatan sah di sisi Islam, bagi saya itu bukan cinta, tetapi "ilham perhubungan" yang Allah SWT ilhamkan kepada makhluk yang bernama binantang. 

Jadi janganlah kita turunkan martabat cinta itu dengan membaurkannya dengan nafsu. Manusia (kita) diberi akal untuk membezakan mana-mana yang baik dan mana-mana yang buruk di sisi agama, jadi mengapa sengaja menjadi 'binatang'? 

Binatang hanya perlu mencari pasangannya, menggodanya, lalu mengawan ketika musimnya. Tidak perlu berkahwin, tidak perlu menjaga hubungan dan batas antara mereka dengan sewajarnya. 

Kalau ini definisi cinta anda, itulah ketikanya fitrah yang Allah beri kepada anda, menjadi FITNAH secara automatiknya. 

untuk entri kali ini, saya berhentikan di sini sahaja insyaAllah. Saya akan kupas lebih dalam isu "Cinta Berperaturan" ini dengan lebih dalam pada masa akan datang. InsyaAllah.

Moga ada hikmah yang dapat ditelusur daripada isi minda saya yang tidak seberapa ini.

Taufik
17:39
27/3/13





0 comments:

Post a Comment